PRN Sabah: PKR tanding 14 kerusi

0
3

PKR Sabah mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Kerusi terbabit ialah Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias, Sook, Kemabong, Segama, Limbahau, Sungai Manila, Membakut, Pintasan dan Petagas.

Ia diumumkan Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek dalam satu kenyataan, petang tadi.

“PKR Sabah mempunyai lebih 170,000 ahli iaitu kedua terbesar selepas Selangor dan atas sebab itu, kita ingin meletakkan 14 orang calon.

“Jumlah itu munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN Sabah juga meningkat kepada 73 berbanding 60 kerusi sebelum ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR diagihkan lapan kerusi DUN dan menang dua iaitu di Api-Api dan Inanam.

Simsudin menjelaskan agihan itu diperoleh selepas dua rundingan terakhir PKR dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kepemimpinan tertinggi PKR.

 
Katanya, sebagai parti pelbagai kaum yang lama menyertai pilihan raya, PKR juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina.

“PKR melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon berwibawa, termasuk muka baharu anak muda dan wanita.

 
“Ini komitmen PKR untuk mengembalikan mandat rakyat kepada kerajaan negeri yang diterajui Warisan,” katanya.

Senarai calon parti itu akan diumumkan serentak pada pengumuman calon Warisan Plus oleh Mohd Shafie, esok.