Covid-19: 53 peratus petugas kesihatan dapat penularan sesama sendiri

0
2

Fitri Nizam

SEBANYAK 53 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 membabitkan petugas kesihatan berpunca daripada penularan sesama sendiri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 22 peratus kes pula disebabkan jangkitan daripada komuniti manakala jangkitan ketika pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula adalah 17 peratus.

“Keadaan ini membimbangkan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

“Justeru, amat penting petugas kesihatan memastikan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 diambil setiap masa, terutamanya semasa bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penjarakan fizikal yang selamat di tempat bertugas iaitu dalam kalangan rakan sekerja dan ketika pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu.

“KKM ingin mengingatkan semua petugas kesihatan yang bertugas di hospital mahupun Klinik Kesihatan agar memakai alat pelitup muka jenis 3-ply sepanjang waktu bekerja.

“Petugas kesihatan juga perlu mengamalkan kebersihan tangan, etika batuk dan memakai alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian mengikut keperluan semasa menjalankan tugas,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menyarankan agar amalan-amalan yang dinyatakan turut diikuti oleh pengamal perubatan dan petugas kesihatan swasta dan di universiti.-Malaysiapost