Fitri Nizam
KERAJAAN menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan kerajaan Senegal atas pemergian Duta Besarnya ke Malaysia, Fatou-Danielle Dagne, awal pagi tadi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sepanjang bertugas di negara ini, Fatou-Danielle memainkan peranan besar dalam hubungan Malaysia-Senegal dan segala sumbangan beliau akan sentiasa dikenang.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga beliau serta kerajaan dan rakyat Senegal. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda semua.
“Semoga Allah SWT memberkati Fatou-Danielle Diagne dan menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menzahirkan kesedihan atas pemergian duta Senegal itu.
“Bagi pihak Wisma Putra, takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah, Menteri Luar Negeri Senegal, Amadou BA, dan warga Kementerian Luar Negeri Senegal.
“Didoakan, semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

