Fitri Nizam
STATISTIK kes baharu positif Covid-19 hari ini menurun apabila hanya 24 kes dilaporkan, sebahagian besarnya daripada kluster Sungai di Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu 18 kes adalah penularan dalan negara membabitkan 16 warga Malaysia dan dua lagi bukan warganegara.
“Daripada jumlah kes penularan dalam negara itu, 13 adalah kluster Sungai manakala, kluster Tawar dan Telaga masing-masing mencatatkan satu kes baharu.
“Selain itu, seorang individu dikesan positif Covid-19 selepas saringan bergejala dibuat terhadapnya di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, dua lagi kes penularan tempatan dikesan daripada kluster Benteng Lahad Datu (LD).
“Kita juga mengenalpasti enam kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warga Malaysia dan tiga bukan warganegara.
“Ia membabitkan penularan dari Bangladesh (2), China (1), Indonesia (1), Singapura (1 ) dan Korea Selatan (1 ),” katanya.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan, sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini,” katanya.-Malaysiapost

