KETUA Jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak resah apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) masih belum memulakan perbincangan mengenai kedudukannya musim depan.
Pengendali dari Singapura itu berkata, perbincangan itu perlu bagi membolehkannya mendapatkan gambaran sebenar mengenai perancangan KFA.
“Kebanyakan pasukan Liga M sudah mula membuat perancangan awal untuk hala tuju pasukan masing-masing, tetapi saya masih belum menerima apa-apa perbincangan seperti diharapkan.
“Jika KFA tidak mahu mengadakan perbincangan hingga pertengahan bulan ini, saya terpaksa membuat perancangan berdasarkan tawaran kelab lain.
“Agak hairan juga apabila tiada wakil KFA datang memberi gambaran mengenai kedudukan saya musim depan dan sebagai jurulatih profesional, saya berharap perkara ini perlu dimulakan seawal mungkin,” katanya seperti dilapor BH.
Aidil menegaskan tanpa sebarang perbincangan, beliau merasakan seolah-olah tidak dihargai selepas apa yang sudah dikorbankan untuk Kedah selama ini.
“Jika Kedah masih memerlukan khidmat saya, mereka perlu lebih cepat mengadakan rundingan dan inilah yang saya harapkan.
“Sebagai profesional, saya juga perlu membuat perancangan teliti mengenai masa depan dalam pasukan serta hala tuju kerjaya.
“Saya harap KFA dapat menyatakan perancangan mereka lebih cepat supaya saya dapat fokus dalam apa yang sedang saya usahakan khususnya untuk kemajuan bola sepak Kedah,” katanya. – Malaysiapost

