PRN Sabah: Shafie dijangka terus pertahan kerusi DUN Senallang

0
3

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Semporna pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Bagaimanapun, keputusan rasmi hanya diketahui pada pengumuman calon gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), PKR, DAP dan Amanah atau dikenali Warisan Plus, esok.

Begitu juga dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew, dijangka kekal dicalonkan bagi mempertahankan DUN Sulabayan, Semporna dan Api-Api di Kota Kinabalu.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau dijangka bertanding di DUN Kiulu, Tuaran. Beliau sebelum ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik.

Bagi Warisan, selain Mohd Shafie selaku presiden parti itu dan Jaujan (Naib Presiden), beberapa pemimpin lain dijangka kekal mempertahankan kerusi masing-masing.

Antaranya, dua lagi Naib Presiden, Datuk Peter Anthony dan Datuk Junz Wong, masing-masing di DUN Melalap dan Tanjung Aru.

Bagaimanapun, difahamkan Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Pengerusi Tetap Warisan, Datuk Liew Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi serta Ahli Parlimen lain Warisan tidak bertanding.

Pemimpin Warisan lain yang dijangka dicalonkan semula ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Aidi Moktar (Pantai Manis), Assafal Alian (Tungku), Sarifuddin Hata (Merotai), Ariffin Asgali (Sekong) dan Ben Chong (Tanjung Kapor).

Parti itu turut dijangka menampilkan beberapa muka baharu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang dikhabarkan dicalonkan di Bingkor, Keningau atau kerusi baharu DUN Tulid, Pensiangan.

Muka baharu turut dijangka ditampilkan di Bongawan dan Moyog selepas penyandangnya dikhabar mahu memberi laluan kepada pemimpin lain.

Warisan dijangka meletakkan calon di lebih 30 kerusi sejajar kedudukannya sebagai tulang belakang pakatan Warisan Plus.

Sementara itu Upko, selain Madius selaku presidennya, parti itu dijangka mengekalkan naib presidennya, Datuk Ewon Benedick mempertahankan DUN Kadamaian.

Ewon satu-satunya penyandang kerusi Upko kekal bersama parti itu setelah empat yang lain menyertai gabungan pembangkang.

Ini bermakna hanya Ewon dan Madius muka lama, manakala selebihnya pertama kali bertanding, antaranya, Bendahari Upko, Nelson Angang disebut-sebut dicalonkan di Kuala Penyu.

Upko sebelum ini menyuarakan hasrat bertanding 20 kerusi dan berdasarkan perkembangan semasa, parti itu dijangka meletak calon di beberapa kerusi bukan tradisinya.

Antara disebut-sebut ialah Tambunan, Bengkoka, Tamparuli, Pantai Dalit, Membakut dan Inanam, manakala kerusi tradisi yang dijangka dikekalkannya ialah Kuamut, Paginatan dan Nabawan.

Di Tambunan, bekas Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Laurentius Ambu, dijangka dicalonkan jika Upko diberi kepercayaan bertanding di kerusi itu.

Sementara DAP dijangka mencalonkan semula penyandang di enam kerusi yang dimenangi pada PRU 2018.

Mereka ialah Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fat (Likas), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jimmy Wong (Sri Tanjung), Chong Ket Kiun (Elopura) dan Datuk Frankie Poon Ming Fung (Tanjung Papat).

DAP juga mungkin meletakkan calon di kerusi DUN Sook, Pensiangan.

Bagi PKR, selain Christina, beberapa pemimpin utama parti itu di Sabah dijangka dicalonkan, antaranya Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud di DUN Tempasuk, Kota Belud.

Difahamkan, PKR turut menuntut kerusi DUN Inanam dengan mengambil kira ia adalah kerusinya sebelum penyandangnya, Kenny Chua meninggalkan parti Julai lalu.

PKR turut dijangka meletak calon di semua kerusi ditandinginya pada PRU lalu, selain beberapa kerusi baharu seperti dijelaskan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini.

Satu lagi gabungan Warisan Plus ialah Amanah, namun parti itu masih berdiam diri mengenai calon dan jumlah kerusi ditandingi.-Malaysiapost