Muhammad Mustakim Ramli
MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini bersetuju isu sebenar dihadapi pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pedalaman.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter.
“Jemaah Menteri pagi tadi sudah membincangkan isu Veveonah. Kabinet ambil maklum kenyataan dua timbalan menteri tidak betul dan tidak wajar.
“Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh Veveonah menipu sebelum memohon maaf kepada pelajar berkenaan.
Ia susulan tular video menunjukkan pelajar Asasi Sains UMS itu, berada di atas pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik bagi menjawab soalan peperiksaan pada 12 Jun lalu.
Zahidi kemudian memaklumkan laporan pelajar itu tidak menduduki peperiksaan di atas pokok diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan pula mendakwa menerima maklumat itu daripada pensyarah Vevonah. – Malaysiapost
