Covid-19: KMC tutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam 3 hari

0
1

KEDAH Medical Centre (KMC) di Alor Setar menutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula hari ini.

Ia bagi melaksanakan kerja pembersihan dan sanitasi menyeluruh susulan pengesahan kes Covid-19 di hospital swasta itu.

Menerusi kenyataan di Facebook, KMC memaklumkan penutupan sementara hospital adalah bagi membolehkan pembersihan menyeluruh di hospital itu.

“KMC akan menutup operasi untuk tiga hari bermula 9 hingga 11 September 2020 bagi sesi pembersihan dan sanitasi di seluruh kawasan hospital selepas Covid-19 dikesan.

“Unit Kecemasan dan Kemalangan (24 jam) hanya menerima kes-kes kecemasan sahaja. Sebarang kes kemasukan ke wad akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berdekatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Perubatan KMC, Datuk Dr Kamaruzzaman Ali, berkata pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke KPJ Pulau Pinang atau Hospital Pakar KPJ Perlis.

Bernama melaporkan, Dr Kamaruzzaman memaklumkan sehingga jam 11.25 pagi semalam, 18 kakitangan dan tujuh ahli keluarga mereka dikenal pasti positif Covid-19 dan 619 pekerja sudah diperiksa.

“KMC juga melakukan pengesanan kontak dengan segera dan semua staf yang mempunyai kontak sudah dikenal pasti, diuji dan dikuarantin.

“Sebagai tambahan, KMC akan menawarkan 44 pesakit dalam, menjalani ujian antigen serta ujian PCR,” katanya.

Dr Kamaruzzaman berkata, KMC sudah membuat tindakan pencegahan dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat serta bekerjasama dengan pegawai kesihatan awam dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Semua operasi akan bersambung semula pada 13 September dan pesakit boleh meneruskan pelan penjagaan sedia ada di hospital itu,” katanya. – Malaysiapost