PEMENANG Ballon d’Or lima kali, Cristiano Ronaldo bakal membuat kepulangan semula penuh sensasi ke Manchester United, pasukan yang ditinggalkannya pada 2009 untuk menyertai Real Madrid.
Manchester United menerusi laman webnya mengesahkan kelab Liga Perdana Inggeris itu telah mencapai persetujuan dengan Juventus untuk perpindahan Ronaldo, tertakluk syarat peribadi, visa dan perubatan.
Ronaldo semalam dilaporkan singgah selama 40 minit di pusat latihan Juventus untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya.
Sepanjang kariernya, Ronaldo, 36, telah memenangi lebih 30 piala utama termasuk lima Liga Juara-Juara UEFA, empat Piala Dunia Kelab FIFA, tujuh gelaran liga di England, Sepanyol dan Itali, dan Euro bersama Portugal.
Bersama Manchester United dari 2003 hingga 2009, Ronaldo telah menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan.
Dia dibawa masuk menyertai Manchester United pada 2003 oleh bekas pengurus, Sir Alex Ferguson dari Sporting Lisbon. – Malaysiapost

