Ketua kg Pulau Mantanani individu pertama terima vaksin CanSino di Sabah

0
1

KETUA Kampung Pulau Mantanani di Kota Belud, Rosmin Ambil menjadi individu pertama di Sabah menerima vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino.

Perkara itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan, Fairuz Renddan menerusi Facebooknya selepas menyaksikan program jangkauan luar pemberian vaksin Covid-19 di pulau berkenaan, semalam.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya Program Pemberian Vaksin di Mizume Pulau Mantanani berjalan dengan lancar.

“Semoga kita dapat mencapai imuniti kelompok dengan kadar yang segera.,” katanya.

Pulau Mantanani adalah pulau peranginan terkemuka di Sabah yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot laju dari tanah besar di Kota Belud.

Seramai 650 penduduk Pulau Mantanani menerima suntikan vaksin CanSino pada program itu yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan penghantaran 180,000 dos vaksin CanSino ke Sabah, bermula dengan 53,000 dos yang tiba Selasa lalu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memohon 1.8 juta dos vaksin itu untuk dihantar ke Sabah dan meminta negeri tersebut diberi keutamaan bekalan vaksin CanSino dalam usaha mempercepat imuniti kelompok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here