
Fitri Nizam
SERAMAI 221 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan sebahagian besarnya dicekup ketika berhibur di pub dan kelab malam.
Daripada jumlah itu, seramai 118 individu ditahan di pub dan kelab malam di seluruh negara walaupun aktiviti itu dilarang sama sekali di bawah arahan PKPP.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 212 individu dikompaun, lapan direman manakala satu lagi dijamin.
“Selain kesalahan mengunjungi kelab malam, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (34), penjarakan fizikal (43) dan tidak memakai pelitup muka (18) antara yang dikenakan tindakan.
“Antara lain, kita juga mengenakan tindakan terhadap individu yang gagal mematuhi perintah kuarantin (1), premis beroperasi lebih masa (5), serta tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pasukan keselamatan berjaya mematahkan cubaan 61 PATI dan lima tekong yang cuba masuk ke negara semalam menerusi 24 tangkapan.
“Di Bandar Penawar, Johor, Angkatan Tentera Malaysia menahan 26 PATI dan lima tekong atas kesalahan imigresen, manakala di Bukit Kayu Hitam, Kedah 12 PATI ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sebanyak 72 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang mana PDRM telah memeriksa 24,972 kenderaan dan melakukan 11 tangkapan,” katanya. – Malaysiapost
