Kilang haram: kerajaan negeri akan bertindak

0
1

Fitri Nizam

KERAJAAN negeri Selangor akan bertindak selaras dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu kilang haram berhampiran tebing sungai dirobohkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air.

“Menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor agar kilang haram berhampiran tebing sungai dirobohkan.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mereka yang mencemar sumber air rakyat Selangor,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitahtindakan penguatkuasaan lebih tegas mesti diambil bagi memastikan rumah serta kilang terutama kilang haram berhampiran tebing sungai dirobohkan.

Dalam surat kepada Amirudin, baginda menyifatkan kilang haram tersebut berpotensi mencemari anak sungai dan sungai di negeri itu.

Selain itu, baginda telah lama menitahkan supaya jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan negeri untuk memantau dan memastikan sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah hingga menjejas bekalan air mentah kepada loji rawatan.-Malaysiapost