POLIS sudah memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian anggota tentera, Abdul Aziz Aznam yang dipercayai terjun dari tingkat tiga kediaman kem tentera di Batu Pahat, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata saksi termasuk anggota dari kem tentera sama sudah dipanggil pihaknya.
Katanya, aspek siasatan kes itu turut meliputi detik sebelum mangsa dipercayai terjun.
“Kita merakam percakapan mereka, termasuk untuk mengetahui sama ada mangsa dipercayai bertindak sedemikian kerana takut atau sebaliknya,” katanya seperti dipetik BH.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, polis giat melakukan siasatan, termasuk mengenal pasti punca kematian dan sama ada wujud unsur ugutan, tekanan serta penderaan terhadap mangsa.
Media sebelum ini melaporkan, pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem di Batu Pahat.
Mangsa yang dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagaimanapun menghembus nafas terakhir jam 2.30 petang, Ahad lalu.
Mangsa pernah mengadu kepada keluarga dia pernah ditumbuk dan mukanya digosok dengan berus besi. – Malaysiapost

