Lawan arus sebab nak elak jalan sesak

0
1

GARA-gara melawan arus, seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandunya terbalik dalam kemalangan empat kenderaaan di lampu isyarat simpang empat Jalan Bukit Baru- Duyung di Melaka, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, lelaki berusia 50-an memandu melawan arus dari arah Duyung menuju Bukit Katil bagi mengelak kesesakan di lampu isyarat.

Pegawai Bomba Kanan II, Abdillah Hamid berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.28 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu Proton Iswara, Proton Waja, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dan Perodua Viva.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara yang datang dari arah Duyung dipandu secara melawan arus untuk mengelak kesesakan lampu isyarat menuju ke Bukit Pulau.

“Pada masa sama, tiga lagi kenderaan terbabit datang dari arah Bukit Pulau menuju ke Bukit Katil menyebabkan berlaku rempuhan sebelum Proton Iswara terbalik,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!

Mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.-Malaysiapost