SERAMAI 300 pegawai perubatan kontrak yang layak dipertimbangkan telah ditawar pelantikan tetap dalam urusan pelantikan baharu dilaksanakan bulan ini, membabitkan penempatan di Sabah dan Sarawak.
Daripada jumlah itu, 150 pegawai iaitu 19 kelahiran Sabah dan 131 kelahiran Semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.
Manakala 150 lagi pegawai kelahiran Semenanjung dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak dan kesemua pegawai kelahiran Sarawak dalam kohort terbabit sudah dilantik tetap.
Namun 100 daripada yang ditawarkan tidak melaporkan diri bertugas kerana menolak tawaran iaitu seramai 85 orang dan meletak jawatan seramai 15 orang berikutan mendapat tawaran pekerjaan lain.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana peluang berkenaan tidak sepatutnya dilepaskan ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya melantik mereka secara tetap.
“Dalam hal ini, tawaran pelantikan tetap kali kedua tidak lagi akan ditawarkan kepada pegawai yang menolak bagi memberi peluang kepada pegawai lain yang masih menunggu giliran untuk dilantik tetap.
“Sehubungan itu, sebanyak 100 kekosongan jawatan tetap di Wilayah Sabah dan Sarawak akan dibuat pengisian segera dari kalangan baki calon dalam kohort ketiga (lantikan 15 Mei 2017) setelah mendapat kelulusan pelantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejak lantikan pertama secara tetap pegawai perubatan pada 2018 hingga kini, keseluruhan pegawai yang telah ditawarkan pelantikan tetap adalah 1,089 orang.
Sementara itu, menurutnya selaras keputusan kerajaan pada 14 Julai lalu mengenai keperluan KKM dan agensi berkaitan menyediakan Pelan komprehensif bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak, gerak kerja telah dimulakan dengan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti perkara itu.
“Satu mesyuarat diadakan pada 20 Ogos lalu dan bersetuju dengan cadangan penubuhan lima pasukan kerja dan pelaksanaan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya. – Malaysiapost

