
LABUAN menjadi wilayah pertama beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Khamis ini selepas mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berdasarkan kepada kadar vaksinasi lengkap dua dos melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan.
Menurutnya, ia juga disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten 12 hari berturut-turut.
Beliau berkata, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun ke angka sifar atau kosong peratus berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya.
“Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan Labuan beralih daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat PPN,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Ismail Sabri turut mengumumkan Negeri Sembilan kini memasuki Fasa Dua PPN berkuat kuasa Khamis ini.
Beliau berkata, ia susulan keadaan Covid-19 yang bertambah baik dengan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang 40 peratus semalam.
Menurutnya, perkembangan itu selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang menerima dua dos.
“Ini menunjukkan Negeri Sembilan berada pada landasan betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya.
Dengan peralihan itu, penduduk di Labuan kini boleh menikmati kelonggaran semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.
Mereka juga boleh mengadakan majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, ‘retreat’ dan ‘reunion’ dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan serta mengamalkan penjarakan fizikal.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan sama seperti negeri-negeri lain yang beralih ke Fasa Dua seperti diumum sebelum ini.
Katanya, individu sudah melengkapkan vaksinasi juga dibenarkan menjalankan aktiviti solat di masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.
“Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
“Hanya pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk ‘dine-in’ di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang lengkap divaksinasi.
“Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib sudah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan ‘homestay’,” katanya. – Malaysiapost
