Fitri Nizam
NILAI kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (RO) meningkat kepada 1.72 berbanding 0.72 dua minggu lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ketara itu sekali gus memberi gambaran risiko lebih banyak terhadap transmisi dalam komuniti.
Katanya, masyarakat kini kemungkinan sudah leka dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Malah, beliau berkata, nasihat yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula diambil ringan termasuk petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan agensi lain.
“Petugas barisan hadapan sememangnya mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti oleh penyakit Covid-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan.
“Misalnya, hari ini terdapat seorang anggota kesihatan daripada kluster Sungai yang didapati menjangkiti tujuh ahli keluarganya.
“Mengambil iktibar daripada kejadian ini, KKM menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan masyarakat untuk mengambil serius situasi Covid-19 di dalam negara,” katanya dalam sidang media hari ini.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pematuhan 100 peratus garis panduan amalan klinikal dan tatacara ketika bertugas dan ketika tidak bertugas amat penting.
“Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan Covid-19,” katanya.

