Lagi sokongan tutup kelab malam

0
2

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Rafiq Abdullah hari ini menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan isu penutupan kelab malam.

Menurutnya, walaupun kenyataan Perdana Menteri itu dibantah sesetengah pihak, namun sekiranya dilaksanakan, ia memberi banyak kesan positif kepada masyarakat.

“Sekurang-kurangnya, ia dapat mengurangkan kes kemalangan akibat mabuk yang semakin menjadi-jadi. Ini termasuk dapat mengurangkan kes dadah, pelacuran dan sebagainya.

“Bukan saya kata semua kelab malam di negara ini terlibat dengan kes dadah, pelacuran dan sebagainya, tetapi kebanyakannya ada.

“Jadi, kenyataan Perdana Menteri itu bagi saya akan lebih banyak memberi kesan sosial lebih baik kepada rakyat secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin dalam Konvensyen Perikatan Nasional (PN) minggu lalu, dilaporkan berkata adalah lebih baik sekiranya kelab malam di negara ini ditutup terus.

Kenyataan itu mengundang rasa kurang senang Presiden Persekutuan Industri Hiburan Malaysia, Liew Poon Siak yang menganggap ia sebagai satu tamparan, memandangkan bar dan pub masih tidak dibenar beroperasi sejak Mac akibat Covid-19.

Bagaimanapun, Rafiq yang juga Ketua Bahagian Bersatu Sungai Buloh berkata, mana-mana pusat hiburan keluarga boleh diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk terus beroperasi.

“Contohnya pusat karaoke keluarga yang tidak menghidangkan minuman keras, saya kira perlu diberikan kelonggaran untuk terus beroperasi selepas PKPP tamat.

“Namun pihak berkuasa perlu membuat pemantauannkerana kita bimbang ada pihak menyalahgunakan pusat hiburan atas nama keluarga untuk menjalankan aktiviti penjualan arak, dadah, judi, pelacuran dan sebagainya,” jelasnya.