TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun mengesahkan pelajar Asasi Sains, Veveonah Mosibin menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian pada 9 hingga 12 Jun 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan itu berkata maklumat tersebut disahkan pengarah Pusat Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Setelah mendapat penjelasan terperinci daripada Pengarah Pusat Asasi Sains UMS, saya mengesahkan Veveonah Mosibin telah menduduki peperiksaan akhir (online) pada 9-12 Jun 2020.
“Veveonah seorang pelajar cemerlang dan akan meneruskan kursus ijazah Sains Marin di UMS,” katanya yang juga bekas Exco Pendidikan Sabah menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh Veveonah menipu apabila memanjat pokok untuk mendapat capaian internet bagi mengambil peperiksaan secara dalam talian di kampungnya di Pitas.
Ini kerana, katanya, remaja itu didakwa berbuat demikian sebagai ‘content’ untuk YouTube, namun beliau kemudian memohon maaf kepada pelajar berkenaan atas alasan mendapat maklumat salah.
Zahidi semalam memaklumkan laporan pelajar itu tidak menduduki peperiksaan di atas pokok diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan pula mendakwa menerima maklumat itu daripada pensyarah Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta seorang pembantunya di Pitas yang menjalankan siasatan.
Beliau bagaimanapun memadam hantaran tersebut yang dimuat naik di Facebook. – Malaysiapost

