KERAJAAN bercadang mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.02 peratus kepada pembeli yang melakukan pembelian dalam talian termasuk portal e-dagang seperti Lazada dan Shopee.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, namun begitu jumlah minimum pembelian yang membolehkan caj itu dikenakan masih belum ditetapkan.
“Contohnya pembelian RM1,000 dikenakan 20 sen, atau 0.02 peratus.
“Jadi kita dapatlah gunakan wang itu untuk keselamatan (siber). Sebab kosnya pun mahal,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.
Katanya, perkara ini masih dalam perancangan di peringkat kementerian sebelum dibentangkan dan menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai antara tindakan mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat.
Menurut Zahidi, kutipan daripada caj perkhidmatan tersebut akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelak penipuan atas talian (scammer) dan pencerobohan siber.
Katanya, namun begitu ia bukanlah cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana kini pembelian atas talian tidak dikenakan cukai sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar turut memaklumkan cadangan mengenakan cukai adalah rumit, oleh itu kelulusan daripada Parlimen diperlukan untuk mewujukkan caj perkhidmatan tersebut.
Tambahnya, sejak kebelakangan ini terdapat banyak laporan dan kes di mana berlaku serangan siber di seluruh dunia akibat ketirisan data.
“Sebab itu sistem keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan bagi mengelak ia berlaku.
“Justeru, kita perlu sama-sama membantu untuk menampung kos penambahbaikan komunikasi kerana ia membabitkan perbelanjaan besar,” katanya. – Malaysiapost

