Sugu kena tunggu seminggu lagi

0
2

SUAMI Youtuber, M Sugu perlu menunggu  kira-kira seminggu lagi bagi menyelesaikan proses menarik balik pertuduhan terhadapnya berhubung kes memukul isterinya, S Pavithra, Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang arahan lanjut menarik balik pertuduhan ke atas Sugu, 29.

“Surat rasmi penarikan balik kes daripada isteri tertuduh telah diterima pada 4 September lalu.

“Bagaimanapun saya masih belum menerima arahan lanjut daripada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk menarik balik kes berkenaan,” katanya seperti dilaporkan K! Online.

Terdahulu, peguam bela Jude Pereira yang mewakili Sugu memberitahu mahkamah bahawa Pavithra, 28, membuat laporan polis untuk menarik balik kes tersebut.

Dia turut menghantar surat rasmi kepada pihak pendakwaan untuk menarik balik kes yang mendatangkan kecederaan itu.

Hakim Mohd. Fauzi Mohd Nasir kemudian menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan kes.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan pada bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), antara jam 4 hingga 5 petang 21 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter dengan tulisan tiger di parkir HRPB jam 6 petang, 21 Julai lalu.

Sementara itu, peguam bela Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi memberitahu mahkamah pihaknya baru dilantik dan memohon masa untuk meneliti semua dokumen berkaitan kes.

Sugu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. – Malaysiapost