Fitri Nizam
SEORANG individu yang melarikan diri daripada pusat kuarantin antara 72 individu yang ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 70 individu dikompaun, seorang direman manakala seorang lagi dilepaskan selepas dijamin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan mereka termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24) dan penjarakan fizikal (26)
“Selain itu, kesalahan tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (1) serta premis beroperasi lebih masa (1),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup berjaya ditahan dalam Operasi Benteng.
“Ops itu membabitkan National Task Force (NTF) yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
“Semua agensi itu mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19,” katanya.
-Malaysiapost

