ABANG kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, mahu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin turun padang terutama kawasan pedalaman Sabah untuk mengetahui kehidupan sebenar masyarakat kampung.
Mekvin Mosibin, berkata sebagai timbalan menteri, Zahidi sepatutnya lebih peka terhadap sebarang isu berbangkit dan bukan hanya mengambil maklumat daripada sumber yang salah.
“Video yang adik saya buat itu hanya untuk berkongsi kisah hidup sebenar dan bukan untuk meminta apa-apa. Tetapi tiba-tiba rakyat suka dan adik saya tidak tahu itu adalah satu isu yang besar.
“Kalau kau (Zahidi) YB turun padanglah masuk semua kampung pedalaman dan kau akan rasakan kehidupan orang kampung,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai Veveonah, memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.
Zahidi ketika perbahasan di Dewan Negara minggu lalu, mendakwa rakaman video Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan sebenarnya sekadar dilakukan hanya bertujuan hiburan dan menaikkan ‘viewer’ saluran YouTubenya.
Zahidi menjelaskan beliau menerima maklumat itu daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri.
Dalam pada itu, Mekvin berkata, sebagai wakil rakyat, tangungjawab Zahidi terlalu besar dan bukan hanya untuk meraih undi rakyat semata-mata.
Katanya, selain internet banyak lagi isu di pedalaman seperti bekalan elektrik dan jalan yang perlu diambil perhatian.
“Sepatutnya sebagai timbalan menteri ambillah (isu) itu sebagai permintaan rakyat untuk diuruskan (dengan baik) bukan menentang balik atau mendakwa ia bohong,” katanya.
Mengulas mengenai maklumat disalurkan Abd Rahim Bakri, Mekvin berkata, wakil rakyat itu tidak mengetahui isu sebenar kerana tidak berada di Pitas.
“Abd Rahim bukan selalu di Pitas, beliau hanya dapat maklumat dari Kampung Sapatalang melalui (individu) bernama Elwin Madisa.
“Kalau tidak tahu masalah kampung jangan suka-suka masuk campur,” katanya.
Mekvin berkata, keluarganya sebelum ini tidak pernah meminta bantuan atau meraih simpati mana-mana pihak.
“Hai YB belum tentu kau boleh lawan rakyat, kerana kuasa mu ada di tangan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

