Isu Veveonah: Umno, Bersatu gagal fahami isu kemunduran infrastruktur di Sabah

0
2

KENYATAAN Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri berhubung isu Veveonah Mosibin menunjukkan kegagalan Umno dan Bersatu memahami isu utama mengenai kemunduran infrastruktur di Sabah.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata video disiarkan Veveonah sepatutnya membuka mata kedua-dua pemimpin itu mengenai usaha membangunkan Sabah, namun mereka gagal melihat perkara tersebut. 

Sebaliknya beliau berkata, kedua-dua timbalan menteri itu memilih untuk membuli Veveonah dan membunuh karakter anak gadis itu yang cuba mengubah kehidupan masyarakatnya ke arah lebih baik.

“Tidak hairanlah kenapa selepas 26 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN), Sabah masih ketinggalan kerana pemimpinnya yang masih dalam sindrom penafian, tidak mengakui kegagalan, malah menyalahkan rakyat yang cuba membangkitkan masalah.

“Topik utama ialah Sabah ada masalah dengan isyarat talian telefon, selepas 26 tahun BN perintah, jangan cerita Pitas, pergi Kota Belud dari Kota Kinabalu pun kita akan merasai pengalaman talian terputus.

“Sedangkan di Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak pernah menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia tetapi isunya bukan pada Salleh sebaliknya kegagalan Kerajaan Persekutuan selama ini menunaikan tanggungjawab menyediakan fasiliti di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azis menempelak Zahidi dan Abdul Rahim kerana didakwa hanya melihat isu Veveonah sebagai Youtuber yang kononnya mereka-reka video untuk meningkatkan tontonan.

Katanya, kreativiti Veveonah dalam menghasilkan video itu sepatutnya mendapat pujian kerana dalam usia muda, anak gadis itu mampu menjana pendapatan untuk membiayai pelajaran dan keluarganya.

“Ahmad Maslan pun dulu buat kempen, buat dua kerja untuk tambah pendapatan, maka apa salahnya jika Veveonah buat dua kerja dalam satu masa, belajar dan jadi Youtuber?

“Sebagai Youtuber dan pelajar, tentu dia mengalami masalah untuk mengakses internet di tempatnya sampai terpaksa panjat pokok, panjat pokok sebab tiada talian di bawah pokok,” katanya.

Sebelum ini Zahidi dikecam kerana mendakwa Veveonah menipu ketika memuat naik videonya memanjat pokok bagi mendapatkan liputan internet untuk mengikuti peperiksaan secara dalam talian.

Dakwanya, tiada peperiksaan dijalankan ketika video itu dimuat naik, namun beliau kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Semalam, Zahidi mendedahkan maklumat berkaitan Veveonah menipu diberikan Abdul Rahim selaku wakil rakyat yang bertanggungjawab di daerah kelahiran Veveonah yang terletak di utara Sabah.
Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan kemudian mempertahankan hujah Veveonah menipu, selain menganggap video dihasilkannya sebagai drama dan untuk mencari publisiti.

Hantaran itu bagaimanapun sudah dipadam selepas warganet mengecam beliau dengan dakwaan tidak membela rakyat sendiri, selain ada juga menganggap tindakan Abdul Rahim seperti mahu bermusuh dengan Veveonah yang masih bergelar pelajar.