SPRM mula siasat isu ladang durian haram

0
2

Fitri Nizam

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang sudah memulakan siasatan terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub.

SPRM menerusi kenyataan berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat dan meneliti beberapa dokumen berkaitan isu terbabit.

“Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan tanah di Raub untuk melaporkan terus kepada pejabat SPRM berdekatan.

“SPRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam isu ini,” katanya secara ringkas.

Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak memaklumkan penerokaan tanah secara haram bagi penanaman durian menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah.

Susulan itu, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang menyatakan kerajaan negeri akan bertegas menangani isu penanaman durian haram di Raub kerana terdapat bukti pembukaan tanah haram terbabit terus bertambah di Sungai Ruan dan Sungai Chalit.

Kerajaan negeri juga sebelum ini menhgeluarkan notis arahan mengosongkan tanah terbabit namun Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub pada 28 Ogos lalu.

Ia bertujuan menjalankan semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.