MENTERI Teknologi, Sains dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia sekiranya ada kekurangan sepanjang berkhidmat sejak 10 Mac tahun lalu.
Menerusi dua rakaman video versi bahasa Melayu dan Inggeris masing-masing berdurasi 8 minit 45 saat dan 7 minit 12 saat itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak.
“Saya mengambil peluang di sini untuk memohon maaf kepada sesiapa yang ada pengalaman buruk dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan kerajaan.
“Namun saya berjanji akan terus lagi belajar, menambah baik dan berjuang untuk keadaan lebih sempurna selepas ini,” kata Menteri Penyelaras PICK itu dalam hantaran video berkenaan.
Ucapan Khairy tersebut menimbulkan spekulasi dan memberi bayangan barisan jemaah menteri bakal dibubarkan.
Ia selaras spekulasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan bakal meletakkan jawatan esok.
Mengikut peruntukan Perlembagaan, peletakan jawatan ketua kerajaan akan melibatkan kesemua anggota jemaah Kabinet yang mana akan kehilangan jawatan masing-masing secara automatik. – Malaysiapost

