SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan agar Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Interim bagi menggantikan pentadbiran Kerajaan sedia ada pimpinan Tan Sri Mahyiddin Yassin.
Cadangan itu dikemukakan Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) dengan alasan Muhyiddin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen sekali gus bukti kegagalannya menangani isu politik negara.
Pengerusinya, Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz turut mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong memberi Pengampunan DiRaja kepada Najib selaku Orang Besar Berempat Negeri Pahang daripada apa jua tindakan mahkamah yang sedang berlangsung atau telah dijatuhi hukuman.
Katanya, kepimpinan dan ketokohan Najib ketika memegang jawatan Perdana Menteri keenam adalah amat baik serta memberangsangkan.
“Selain keupayaan dan kecekapannya mengurus ekonomi negara di samping membawa nama baik Malaysia ke persada antarabangsa, beliau menunjukkan ketokohan kepemimpinan baik di mata dunia.
“Beliau sering menjadi rakan karib kepada Pemerintah Tertinggi Negara dalam menjalin hubungan baik dengan kuasa utama dunia menerusi pelbagai bidang.
“Termasuklah ekonomi, keselamatan, pembangunan pendidikan rakyat, sains dan teknologi tinggi serta mengalakkan hubungan pelaburan yang baik sesama negara tersebut,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Syed Muhammad Imran berkata Najib wajar diangkat sebagai Perdana Menteri Interim susulan kegagalan Muhyiddin dalam dalam pengurusan kesihatan rakyat serta menangani peningkatan jangkitan wabak Covid-19. – Malaysiapost

