Lebih 76,000 sokong petisyen tangguh pembukaan sekolah

0
1

PETISYEN dalam talian yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pembukaan mendapat respon orang ramai apabila lebih 76,000 bersetuju dengan perkara berkenaan.

Petisyen bertajuk ‘Pembukaan sekolah pada 1 September sangat berbahaya ketika kes Covid-19 masih tinggi’ itu dibuat sebagai saluran untuk rakyat menyuarakan pendapat mengenai keputusan kerajaan berkenaan.

Tinjauan Malaysiapost di laman sesawang change.org mendapati petisyen berkenaan berjaya memperoleh sebanyak 76,722 tandangan sehingga jam 12.57 tengah hari tadi.

Kempen yang dilakukan menerusi laman web change.org berkenaan menyasarkan penyertaan seramai 100,000 rakyat Malaysia.

Majoriti rakyat yang menurunkan tandatangan menyifatkan situasi ketika ini yang menyaksikan jumlah harian kes menjangkau angka 20,000 tidak sesuai untuk pembukaan semula sekolah.

Keadaan ditambah buruk dengan penularan varian Delta yang lebih ganas selain mengambil kira pelajar dan murid yang masih belum divaksin.

Petisyen itu dimulakan netizen bernama Awang Sulong yang ditujukan khas kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ia mendesak KPM menangguhkan pembukaan semula sekolah untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka kerana ia dianggap sangat berbahaya ketika kes Covid-19 masih tinggi.

Petisyen sama turut meminta pembukaan semula sekolah itu ditangguhkan sehingga Malaysia mencapai imuniti berkelompok.

Sebelum ini, KPM membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September depan.

Menurut KPM, perkara itu mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diharap dapat mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 1 September ini berikutan kes COVID-19 yang masih tinggi di negara ini.

Semalam, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata majoriti ibu bapa melahirkan kebimbangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah ketika penularan wabak itu belum menunjukkan pengurangan ketara.

Jika KPM kekal dengan keputusan pembukaan sekolah September ini, katanya, beberapa langkah wajar diambil, termasuk usaha memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP), selain menyelesaikan vaksinasi warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here