ABANG kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ahmad Firdaous yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan berikutan tahap oksiden menurun, kini telah sedarkan diri.
Suami Siti Sarah yang juga pelawak Shuib Sepahtu memaklumkan berita baik itu menerusi hantaran di Instagram sebentar tadi.
“Allahuakbar! Allah Maha Besar! Syukur dah buka mata! Terima kasih kepada yang mendoakan.
“Tapi kita sambung lagi doa untuk yang sedang bertarung nyawa. Kita nak semua orang kembali sihat balik jumpa keluarga. Amin, syukur Ya Allah,” tulisnya.
Semalam, Shuib berkongsi keadaan abang iparnya yang diberitahu doktor bahawa situasi dialami Ahmad Firdaous hampir sama dengan arwah Siti Sarah yang mana paru-parunya tidak baik.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas 48 jam ditidurkan di ICU, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.
Pelantun lagu ‘Kesetiaan’ itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. – Malaysiapost

