Israel disentuh riuh sedunia, Israel menceroboh diam membisu

0
2
hadi awang fb

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

HARI ini semakin terdedah sehingga menonjolkan diri sebenar betapa sikap ‘double standard’ negara Barat dan sekutunya apabila diberitakan bahawa kapal yang membawa barangan Israel diserang di laut Oman sebelum ia dibuktikan.

Lantas Amerika Syarikat dan Great Britain membuat kenyataan bersedia melakukan penyelarasan bersama bagi menyahut seruan Israel supaya diambil tindakan terhadap Iran yang dituduh melakukan serangan tersebut.

Adapun ketika Israel dengan nyata mengganas terhadap rakyat Palestin setiap hari sehingga mengorbankan banyak nyawa orang ramai, negara kuasa besar itu tidak pernah membuat kenyataan mengutuk.

Walhal Israel juga bertindak merampas rumah kediaman, kebun dan ada juga yang dimusnahkan serta menyerang negara jirannya Syria dan Lubnan setiap minggu atau bulan.

Bahkan, negara kuasa besar itu sentiasa berada di belakang tindakan veto terhadap segala keputusan yang hanya mengutuk Israel. Walaupun belum lagi diambil sebarang tindakan.

Langkah yang dilakukan hanyalah atas prinsip untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan Israel, langsung tidak mementingkan keselamatan Palestin dan negara Arab yang diceroboh tersebut.

Sejak tahun 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima lebih daripada 3,000 pengaduan salah laku Israel terhadap rakyat Palestin dan negara jirannya.

Namun begitu, PBB tidak mempunyai kemampuan untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap Israel, kerana pengaruh kuasa besar Barat yang dibayangi oleh gerakan Zionis.

Undang-undang antarabangsa akan digunakan, apabila Israel disentuh. Sebaliknya tidak mempedulikan undang-undang tersebut, apabila Israel menceroboh negara lain sehingga bersikap melampau.

Walaupun sudah ada keputusan PBB yang tidak membenarkan tindakan terhadap Palestin, namun pendatang Yahudi terus mengganas dengan dilindungi oleh pasukan keselamatan Israel.

Negara Amerika Syarikat yang dikatakan bersahabat dengan negara Islam dan Arab itu lebih berkhidmat kepada negara haram Israel, menunjukkan peranan khadam kepada tuannya lebih diutamakan daripada peranan sahabat. Apakah rahsia di sebalik pendirian yang tidak bermoral ini?

Semua negara yang bersahabat dengan negara-negara Barat itu ditempatkan pangkalan tentera, yang menjadi tujuan yang lebih penting bagi menjamin keselamatan Israel daripada negeri yang mengizinkan pembinaan pangkalan itu.

Di samping itu, bertujuan menjaga kepentingan sumber ekonomi yang banyak di situ dan membantu bagi melakukan kekacauan di negara-negara Timur Tengah secara khusus, bahkan mereka juga mencatur dalam kalangan negara-negara tersebut.

Termasuklah menukar kerajaan yang mereka mahu dan menjatuhkan pemimpin yang tidak disenangi tanpa mengikut lunas demokrasi yang kononnya menjadi perjuangan mereka.

Lebih nyata lagi adalah menjadi benteng pertahanan menghadapi ancaman negara Islam bukan Arab di sebelah timur bermula dari Indonesia sehingga Iran, dari Asia Tengah sehingga Turki di sebelah utaranya.

Negara haram Israel dibekalkan dengan segala persenjataan, termasuklah senjata pemusnah yang diharamkan. Tidak akan diizinkan sekali-kali negara setempat lebih kuat daripada Israel.

Sebarang kemajuan sains dan teknologi yang mengatasi Israel diharamkan dengan berbagai-bagai helah, khususnya apabila ia dianggap menjadi ancaman kepada Israel. Negara-negara khadam itu pasti akan bertindak termasuklah menggunakan tentera bagi menakluknya demi menjaga keamanan Israel.

Umum mengetahui betapa pengaruh Zionis yang menjadi jentera gerakan pelampau Yahudi terhadap politik, ekonomi, media dan lain-lain.

Sehingga mereka dapat mempengaruhi rakyat umum seluruh negara Barat dalam menentukan kemenangan parti dan pemimpin yang paling berpihak kepada negara haram Israel. Sekalipun negara-negara Barat itu dikatakan sangat bebas dan demokratik.

Media digunakan bagi menggambarkan Israel sebagai negara yang dizalimi dan diancam keselamatannya, walaupun Zionis adalah penggerak kepada segala kekacauan dan kezaliman yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini.

Semua pihak yang bermusuh dengan Israel akan dilabelkan dengan pelampau, sama ada negara, parti politik, NGO, atau individu. Sehingga ada negara yang menggubal undang-undang untuk bertindak terhadap golongan anti-semitik yang menjadi asalnya bangsa Yahudi.

Di manakah manfaat buat negara yang telah melaksanakan dasar normalisasi terhadap Israel atas tujuan menggalakkan perdamaian oleh negara Islam dan Arab terhadapnya?

Sekiranya mereka terus melindungi keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan ke atas negara jirannya yang bersimpati kepada Palestin.

Sejak negara haram Israel ditegakkan, bumi Palestin dirampas dan dipaksa penduduknya untuk meninggalkan tanah air dan kediaman, sehingga langkah Israel semakin agresif.

Mereka terus meluaskan lagi jajahan takluknya dengan mendapat perlindungan daripada negara-negara kuasa besar tersebut. Begitu juga pendekatan melalui penyelesaian dua negara (two-state solution) tidak ditunaikan oleh Israel, bahkan mereka terus mengaktifkan penempatan baru kepada pendatang Yahudi yang dibawa masuk ke bumi Palestin.

Seruan mereka yang mengajak kepada perdamaian, laksana telunjuk lurus kelengkeng berkait adalah satu penipuan syaitan besar yang nyata dan terang lagi bersuluh.

Negara besar yang menghantar misi perdamaian antara Palestin dan Israel tidak mampu menahan sikap syaitannya, apabila tindakan ganas Israel dibalas dengan tindakan yang sewajarnya.

Maka, negara pendamai itu tetap bersama Israel. Hal ini juga menunjukkan betapa sikap mereka yang nyata berpihak kepada kezaliman Zionis itu.

Kini, berlaku kebangkitan rakyat Palestin yang dinamakan intifadah melibatkan semua lapisan rakyat terdiri daripada kalangan lelaki dan wanita, sehinggalah orang-orang tua dan kanak kanak.

Semua kumpulan Palestin juga menunjukkan kesedaran bersama bahawa mereka tidak boleh ditipu lagi. Kesedaran juga berlaku dalam kalangan negara Barat sendiri, apabila turut menunjukkan protes terhadap kezaliman Israel.

Perubahan yang berlaku menunjukkan hampirnya ajal Israel dan negara yang dipergunakan dengan agenda normalisasi akan dikecewakan.

Ketika itu, ternyata perangai syaitan akan meninggalkan mereka yang ditipu dan syaitan itu tetap bersama dengan rakannya yang paling dimurkai oleh Allah SWT (iaitu Israel).

Penulis merupakan Presiden PAS

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan yang diambil daripada Facebook penulis)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here