Kesempitan hidup: LZS santuni bekas atlet snuker negara

0
1

KESUSAHAN hidup bekas atlet snuker negara, Mohd Nazri Mustaffa akibat kesan pandemik Covid-19 mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang turun padang menyantuni beliau.

Mohd Nazri atau dikenali sebagai Kechik Kuantan, hilang segala aset yang pernah dimiliki seperti rumah dan kereta yang terpaksa digadai demi meneruskan kelangsungan hidup.

LZS menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan usaha menjejaki duda 2 orang anak itu dilakukan segera sejurus kisahnya disiarkan di Buletin Utama pada 10 Ogos lalu.

Menurut LZS, Mohd Nazri yang pernah memiliki akademi snuker sendiri terpaksa akur ketetapan Ilahi apabila segala yang pernah dimiliki kini tinggal kenangan.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup di kala pandemik ini namun semua berakhir dengan kegagalan.

“Kini, ihsan rakan menjadi pautan beliau untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kongsi LZS.

Hadir menyantuni Mohd Nazri termasuk Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

“Alhamdulillah, sumbangan tunai beserta barangan makanan diserahkan sebagai bantuan awal buat beliau sekeluarga dan bantuan asasi lain seperti bantuan kewangan dan makanan bulanan akan menyusul.

“Terima kasih pada pengeluar zakat, kerana dalam situasi inilah segala bayaran zakat anda kami manfaatkan semuanya buat mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here