MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Majlis Presiden dalam kenyataan berkata, kehadiran Ahli Parlimen berkenaan bagi membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.
Menurut kenyataan itu, demi masa depan rakyat dan negara semua pihak yang menentang Muhyiddin perlu bersama di meja rundingan untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil.
“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional (PN) menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.
“Ini supaya sebarang pengambil alihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan tersebut mewakili Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Kenyataan itu juga berkata, ketika ini jumlah kes harian Covid-19 semakin meruncing, serta isu pekerjaan dan pendapatan yang membelenggu rakyat.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH berpendapat negara memerlukan Kerajaan yang stabil dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
Katanya, umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan 120 lagi tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa kami menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri,” ujarnya.
Sementara itu, katanya PH juga tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemik memuncak.
“Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023,” katanya. – Malaysiapost

