PKR boleh tanding banyak kerusi

0
3

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) PKR Sabah menafikan parti itu hanya diberikan tiga kerusi tambahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, sebaliknya menegaskan parti itu akan meletakkan calon di lebih banyak kerusi berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Saya ingin memperbetulkan beberapa kenyataan seorang penganalisa politik antaranya mengatakan PKR hanya ‘diberi’ tiga kerusi tambahan.

“Di sini saya ingin menegaskan tidak ada pihak lebih berkuasa sehingga PKR perlu mengharapkan agar diberikan kerusi, sebaliknya PKR sedia meletakkan calon di lebih banyak kerusi berbanding sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai kedudukan PKR dalam PRN Sabah.

Razeef turut menyangkal dakwaan seorang penganalisa politik yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) tidak wujud di Sabah.

“PH Sabah telah wujud seawal 2016 dan secara rasmi pada 2017, malah saya sendiri diberi amanah sebagai Setiausaha Sekretariat Pemuda PH Sabah pada Februari 2017.

“Soal logo juga PH sudah dikenali umum di Sabah namun jika ia digunakan maka Parti Warisan Sabah (Warisan) akan dipandang sebagai sebuah blok ketiga yang kecil.

“Maka demi menjaga hubungan antara parti kita memutuskan untuk menggunakan logo sendiri,” katanya.

Beliau menjelaskan PKR bertapak di Sabah sejak 1999 dan diasaskan oleh orang Sabah, serta dipimpin orang Sabah untuk memperjuangkan rakyat negeri itu.

Mengenai prestasi parti itu, katanya, pada PRU 2018, PKR mengorbankan 35 kerusi yang ditandingi pada PRU 2013 kepada Warisan sebagai langkah permulaan kepada parti itu memasuki pilihan raya.

“Malah PKR lebih banyak bertanding di kawasan yang sukar dimenangi sehingga hanya menang dua daripada lapan kerusi berbanding memenangi tujuh kerusi DUN pada PRU 2013,” katanya.

Sementara itu, beliau mendakwa PKR mencapai sejuta ahli selepas Langkah Sheraton awal tahun ini, membuktikan yang parti itu semakin kukuh selepas pembersihan keahlian dilakukan.

“Kita telah berkorban banyak demi membantu Warisan untuk memulakan langkah pada PRU 2018, itu adalah fakta dan kita tiada masalah bekerjasama dengan Upko walaupun ia hanya bersama kami selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU lalu.

“Oleh itu atas semangat muafakat dalam sebuah pakatan, biarlah pembahagian kerusi itu dilihat adil agar tidak ada pihak yang akan dianggap tamak dan angkuh,” katanya.- Malaysiapost