Isu air: Jamal ajak bertuala depan SUK Selangor Khamis ini

0
2

Aiman Hanif

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mengajak orang ramai “bertuala” bersamanya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam, Khamis ini.

Ia sebagai bantahan terhadap kerajaan negeri yang gagal menangani isu air di negeri itu.

“Sampai bilakah Selangor dan rakyat negeri Selangor akan berhadapan dengan krisis terputusnya bekalan air.

“Jom ramai-ramai kita bertuala untuk menyatakan protes terhadap kerajaan negeri, kegagalan Menteri Besar menyediakan perkhidmatan bekalan air yang terbaik untuk rakyat negeri Selangor,” katanya dalam satu rakaman yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Jamal sering mencetuskan kontroversi dalam menyuarakan bantahannya terhadap kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini beliau pernah bertuala di Bangunan SUK Selangor pada Disember tahun 2016 untuk “tumpang mandi” sebagai protes terhadap masalah air di negeri itu.

Pada tahun 2017 Jamal mencetuskan kontriversi apabila bertindak memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di Selangor.

Jamal bertindak sedemikian ekoran kenyataan Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilapor berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang boleh dibenarkan sekiranya menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Jamal mengajak orang ramai yang ingin turun menyuarakan bantahan bukan saja bertuala, tetapi turut membawa bersama berus gigi.

“Jom bersama-sama saya dengan memakai tuala, letak berus gigi di telinga dan bawa satu gantung sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri tentang permasalahan yang berlarutan dan berulang-ulang kali ini, pada Khamis pukul 10 pagi.

“Jom kita bertuala ke SUK, Pejabat Menteri Besar untuk menumpang mandi di 0ejabat beliau. Ada berani?,” kata Jamal lagi. -Malaysiapost