Covid-19: Kluster Benteng LD catat 50 kes baharu

0
3

Fitri Nizam

KES Covid-19 di negara ini merekodkan peningkatan ketara apabila mencatatkan 62 kes hari ini, 50 kes daripadanya membabitkan kluster Benteng Lahad Datu (LD).

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,459 dengan kadar kebolehjangkitan adalah 207 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata sebanyak 56 kes yang dicatatkan adalah daripada penularan dalam negara membabitkan 30 warganegara Malaysia dan 26 lagi bukan warganegara.

Katanya, sebanyak 50 kes dicatatkan adalah daripada kluster Benteng LD yang dikesan bermula pada 1 September lalu.

“Sebanyak 50 kes dikesan positif Covid-19 dari kluster ini, ia bermula dari dua orang PATI yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 24 Ogos 2020.

“Mereka disaring dan didapati positif Covid-19 pada 31 Ogos 2020 sebelum dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tujuh hari, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif Covid-19 dikesan dengan kadar positiviti sebanyak 4.7 peratus.

“Daripada 66 kes itu, sebanyak 64 kes melibatkan banduan (97.0 peratus) manakala dua lagi kes (3.0 peratus) merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, di utara terdapat lima kes baharu dilaporkan iaitu kluster Sungai (2) dan Telaga (1) serta satu kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian Alor Setar manakala satu kes di Pulau Pinang.

Sementara itu, enam kes import yang mendapat penularan di luar negara adalah membabitkan dua warganegara Malaysia dan empat lagi bukan warga negara. – Malaysiapost