Pesan Zahid kepada MP Umno, jadi wakil rakyat, bukan wakil kerajaan gagal

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

“INSAFILAH kewajipan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, bukan wakil kepada mereka yang gagal menjaga rakyat.”

Demikian pesanan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Ahli Parlimen Umno yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ahmad Zahid turut mengingatkan Ahli Parlimen Umno agar mengingati kewajipan sebagai wakil rakyat dari parti itu iaitu sentiasa memihak kepada rakyat, selain mengutama dan mementingkan rakyat.

Sebaliknya, katanya, bukan memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walau jelas telah gagal, membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja.

“Saya percaya kini adalah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa kita sebagai wakil rakyat dari Umno sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat.

“Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari.

“Sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik dalam dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid juga meminta semua Ahli Parlimen terbabit memahami pesanan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa hubungan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.

Sebagai Ahli Parlimen Umno, katanya lagi, sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli Umno sendiri.

“Juga pengundi-pengundi Umno di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi Umno tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis.

“Maka sudah tiba masa kita sebagai Ahli Parlimen Umno menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjuang untuk mereka.

“Membuktikan perkara itu adalah mudah iaitu meninggalkan kerajaan PN yang gagal dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar,” katanya.

Katanya lagi, beliau turut mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here