JUMLAH kadar kelahiran di Malaysia menurun manakala kadar kematian meningkat bagi suku tahun kedua 2021, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua tahun ini menunjukkan jumlah kelahiran hidup di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus.
Sepanjang tempoh itu katanya, sebanyak 111,573 kelahiran dilaporkan, berbanding 116,688 dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu 55,881 kelahiran bayi perempuan dan 55,692 bayi lelaki.
Menurutnya, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 (18.3 peratus) dan Labuan pula mencatat kelahiran hidup terendah iaitu 390 (0.3 peratus).
Beliau turut berkongsi bahawa negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Republik Korea, United Kingdom (UK), Perancis dan Sepanyol turut mencatat penurunan bilangan kelahiran.
Kongsinya lagi, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua tahun ini.
“Ia meningkat 10.1 peratus berbanding suku tahun kedua tahun lalu dengan 40,241 kematian, iaitu 25,216 lelaki sementara 19,091 wanita.
“Dalam tempoh sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 (15.4 peratus) manakala Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah iaitu 53 (0.1 peratus).
“Daripada jumlah itu, 3,898 kematian disebabkan oleh Covid-19 daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua tahun ini, meningkat berbanding 78 kematian bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Uzir menambah, kematian tertinggi akibat Covid-19 adalah melibatkan kumpulan usia 65 hingga 69 tahun, diikuti kumpulan umur 70 hingga 74 tahun.
“Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 1,236 kematian manakala Putrajaya catat kematian terendah dengan empat kematian.
Pada masa sama, beliau berkata, pandemik Covid-19 tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia.
Menurutnya, jangkaan hayat bagi bayi yang lahir tahun ini secara puratanya dijangka boleh hidup mencecah usia 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding sedekad lalu pada 2011, iaitu sehingga 74.3 tahun.
“Perbandingan mengikut jantina menunjukkan secara purata bayi perempuan hidup lebih lama berbanding bayi lelaki dengan peningkatan jangkaan hayat 0.5 tahun berbanding lelaki, 0.4 tahun bagi tempoh 2011 hingga 2021,” katanya lagi. – Malaysiapost

