Umno tetap desak PM berundur segera – Zahid

0
2

UMNO terus mendesak agar Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno juga mempertegaskan pendirian itu sebagaimana diputuskan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, ia juga membabitkan tiada penubuhan kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (Pakatan Harapan).

Beliau berkata, terdapat tindakan pihak tertentu yang menimbulkan syak wasangka terhadap ketetapan Umno dalam menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan ia amat dikesali.

“Persoalan ‘what’s next’ jelas cuma bertujuan menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap perjuangan Umno untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

“Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu secara jelas menyatakan ‘what’s next’ jika dibaca dan dihayati dengan hati yang jujur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi serta imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini penting bagi membolehkan sesebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here