Polis siasat video tular ritual tolak bala

0
1

POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap rakaman video yang memaparkan upacara ritual pembersihan diri yang didakwa untuk menolak bala.

Upacara tersebut melibatkan enam beranak bersama seorang sami hingga mendatangkan kecederaan di sebuah kuil di belakang rumah di Selekoh, Rungkup, Bagan Datuk, Perak.

Rakaman video tersebut yang tular di laman sosial sejak semalam menunjukkan bagaimana upacara berkenaan dilakukan terhadap enam beranak tersebut dengan menggunakan rotan yang diikat dengan kain merah.

Enam beranak berkenaan adalah pasangan suami berumur 54 tahun bersama isterinya berumur 48 tahun serta empat anak mereka berusia 15 hingga 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, upacara itu hanya dihadiri keluarga mangsa sahaja tanpa orang lain dan sami terbabit adalah anak angkat mangsa.

Katanya, ketika upacara itu, sami berkenaan membaca mantera dan kemudiannya memukul beberapa kali badan mangsa, anak lelaki sulung dan isteri mangsa menggunakan rotan panjang.

“Mangsa, isterinya dan anak sulung mengalami kecederaan dan mereka diminta ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

“Sami yang melakukan ritual berkenaan adalah anak angkat mangsa yang sudah dijaganya sejak bekerja dengannya sebagai pemandu lori, enam tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat abang kandung mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan ritual dilakukan sami berkenaan ke atas keluarga adiknya.

Katanya, abang mangsa mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan berkenaan ritual dilakukan sami itu jika berniat sengaja mencederakan keluarga adiknya.

“Mangsa juga membuat laporan polis bagi mengelakkan salah faham orang ramai berkenaan ritual itu susulan penyebaran video.

“Kita menahan sami berkenaan dan merampas rotan di hadapan kuil milik mangsa pada 10.20 pagi, hari ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sudah memanggil semua saksi yang berada di tempat kejadian.

“Kita akan mengesan perakam video berkenaan dan akan menyiasat segala aspek berkenaan ritual tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here