97 kes, satu kematian babit ‘Kluster Parlimen’

0
2

KES Covid-19 membabitkan ‘Kluster Parlimen’ disahkan mencatatkan satu kematian daripada keseluruhan 97 kes yang dikesan positif sejak Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang di Parlimen pada 26 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada laporan sebelum ini iaitu 88 kes dikesan, terdapat penambahan sembilan lagi kes baharu yang berkaitan dengan sidang Parlimen tersebut.

Menurutnya, satu daripada kes baharu yang dilaporkan hari ini juga merupakan kes kematian pertama yang baharu dikesan positif Covid-19 dengan ujian RT-PCR pada 31 Julai lalu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini pengesanan kes Covid-19 yang berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai lalu bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur.

“Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sejumlah 88 kes Covid-19 dikesan di mana 56 kes adalah hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dengan empat kes kontak rapat; 17 kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat dengan tiga kontak rapat dan lapan kes saringan Pra-Dewan Negara.

“Terkini terdapat penambahan sembilan lagi kes yang berkaitan dengan sidang Parlimen tersebut. Ini menjadikan keseluruhan kes dikesan berkaitan persidangan Parlimen adalah 97 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes baharu lain yang dikesan adalah empat kes kontak rapat hasil saringan semasa Pra-Dewan Rakyat dan kesemua kes didapati begejala ringan dan telah diberi Perintah Pengawasan dan Kawalan (HSO) di rumah.

“Empat kes baharu lagi adalah kontak rapat kepada yang telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat dengan satu daripadanya mempunyai nilai kitaran ambang RT-PCR iaitu 19.62, manakala yang lainnya antara 32.76 sehingga 36.07.

“Enam daripada kes ini telah lengkap mendapat dua dos vaksin dan dua lagi kes adalah kanak-kanak (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian yang telah dinyatakan itu adalah membabitkan pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen pada 26 hingga 29 Julai lalu.

“Ujian saringan Pra-Dewan Rakyat (23 Julai) dan ujian RTK-Ag Self-Test Kit Saliva (29 Julai) adalah negatif. Beliau kemudiannya menunjukkan gejala pada 31 Julai dan positif ujian PCR dengan nilai kitaran ambang atau CT value 14.88.

“Keadaan beliau bertambah teruk dan telah dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos untuk rawatan lanjut. Namun keadaan beliau amat kritikal dan meninggal dunia semalam,” katanya.

Beliau menasihatkan supaya individu yang hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan sekiranya bergejala, mereka dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera.

Terdahulu, media melaporkan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah meninggal dunia akibat Covid-19 semalam dan Allahyarham dilaporkan hadir ke Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here