Najib azam terus tuntut PM berundur

0
1

LAPORAN Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, adalah bukti tiada pelaksanaan penutupan penuh atau ‘total lockdown’ hingga mengakibatkan kes Covid-19 terus meningkat, dakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan laporan terbabit yang menunjukkan peningkatan jualan bagi sektor perkilangan pada Jun tahun ini bernilai RM124.4 bilion iaitu 6.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan itu adalah kenaikan 1.2 peratus berbanding Mei lalu dengan semua penjualan sub-sektor pembuatan naik dan jumlah pekerja juga meningkat 1.2 peratus ke 2,188,142 orang.

“Laporan DOSM semalam benar-benar mendidihkan darah saya dan menguatkan azam saya untuk tuntut Perdana Menteri undur.

“Jun lalu sebenarnya adalah bulan penutupan penuh seperti diumum Perdana Menteri. Jadi, bagaimana pula penjualan dan jumlah pekerja bagi keseluruhan sektor pembuatan boleh naik yang kononnya telah lockdown berbanding Jun 2020 yang tiada lockdown?

“Ini bermaksud bahawa Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menipu seluruh rakyat dan kebanyakan kilang-kilang dalam Malaysia telah teruskan operasi sepanjang tempoh total lockdown,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata, penjualan sektor kilang meningkat tetapi penjualan sektor lain yang lebih terkesan akibat pandemik Covid-19 pula menjadi sifar sebab dalam total lockdown.

“Jadi, kenapa hampir kesemua sektor ekonomi lain perlu berkorban supaya sektor pembuatan boleh terus berkembang?

“Kenapa kerajaan hukum dan korbankan sektor-sektor yang paling tidak mampu dihukum dengan pekerja bilangan paling besar supaya sektor pembuatan yang paling mampu bertahan sebulan lockdown boleh terus mengaut keuntungan sepanjang total lockdown?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan apa gunanya total lockdown apabila lebih dua juta pekerja sektor pembuatan perlu terus bekerja sepanjang tempoh berkenaan.

Najib berkata, sekiranya perlu berkorban, kenapa bukan semua sektor berkorban bersama-sama untuk seketika agar lockdown tidak diheret berpanjangan.

“Kamu tahu tak berapa ribu nyawa manusia telah terkorban dan berapa puluh juta rakyat biasa perlu menderita untuk menjayakan prestasi baik sektor pembuatan ini?

“Sebab itulah Malaysia terjatuh ke keadaan paling parah terkesan Covid-19 dalam dunia hari ini. Syabas sektor perkilangan dan syabas pada kerajaan PN atas prestasi baik sektor pembuatan!” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here