KKMM belum laksana kajian impak negatif TikTok

0
2

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) belum melaksanakan kajian khusus tentang implikasi negatif aplikasi media sosial termasuk TikTok.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun berkata terdapat keperluan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan murid dan guru.

Pada masa sama, katanya, peranan dan tanggungjawab ibu bapa penting dalam melaksanakan kawal kendiri penggunaan Internet yang selamat bagi mengelak implikasi negatif penggunaan Internet.

Ia berdasarkan Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber Kebangsaan dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan beberapa agensi lain pada 2016.

“Dalam hal ini, Modul Kesedaran Keselamatan Siber Nasional (MKKSN) yang merangkumi sekolah rendah dan menengah sedang dibangunkan oleh CSM dengan sokongan KPM.

“Ia memberi keutamaan kepada etika siber antaranya jenayah siber, buli siber, ketagihan internet dan media sosial,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang meminta KKMM menyatakan sama ada wujudnya kajian mengenai implikasi negatif sesetengah aplikasi media sosial seperti TikTok di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata melihat kepada keterbukaan dalam penyajian informasi melalui media sosial seperti Facebook sehingga meningkatnya gejala buli siber, kerajaan sedang melaksanakan kajian bersama Universiti Multimedia (MMU).

Katanya, kajian itu bertujuan melihat keperluan mewujudkan perundangan khas berkenaan antibuli siber bagi menangani kes buli siber di Malaysia.-Malaysiapost