Hina MB Kedah, lelaki warga emas ditahan polis

0
3

SEORANG lelaki warga emas yang menghina Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor di Facebook baru-baru ini, ditahan polis di Lenggeng, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan pada jam 3.57 pagi susulan laporan polis yang dibuat Pegawai Khas Menteri Besar Kedah semalam berkaitan sebuah video yang menghina Sanusi di laman sosial itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu yang menggunakan akaun ‘Kamal Hero Malaya’ di Facebook dipercayai memuat naik video berdurasi kira-kira sembilan minit mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Muhammad Sanusi.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kemudian berjaya mengesan dan menahan lelaki itu di rumahnya.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas telefon bimbit milik lelaki itu dan pemeriksaan mendapati dia turut memiliki rekod lampau yang masih disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Lelaki itu kini direman dan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Adzli menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kami akan lengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Suspek yang dibawa ke IPD Kuala Muda dalam keterangan awalnya telah mengaku memuat naik naik video berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here