Golongan berisiko tidak digalakkan makan di kedai – KKM

0
1
Kelihatan restoran mamak di Desa Sri Hartamas tiada pelanggan yang makan disebabkan arahan bungkus makanan sahaja dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menggalakkan golongan warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung di negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk makan di kedai walaupun kelonggaran ‘dine-in’ dibenarkan bermula esok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata saranan itu bagi tujuan keselamatan dan kesihatan dengan mengambil kira risiko penularan wabak Covid-19 daripada varian Delta yang semakin ganas.

Beliau berkata, KKM bimbang sekiranya ada segelintir masyarakat yang tidak berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan menerusi aktiviti berkumpul seumpama itu.

“Apabila kerajaan umum, semua orang suka, tetapi bagi kita (KKM) suka dan risau kerana kita tak mahu ia menyebabkan pertambahan lagi kes.

“Jadi kalau boleh bila makan di kedai, orang-orang tua dan kanak-kanak janganlah dibawa. Ibu mengandung pun janganlah pergi makan kerana mereka yang berisiko ini badannya lebih lemah berbanding orang lain.

“Varian Delta sangat ganas dan cepat merebak, sebab itu kita mestilah lebih berhati-hati dan serius dalam menjaga diri kita,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta ‘dine-in’ di restoran bermula esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam PPN dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.

Katanya, langkah itu bagi menjawab keraguan pelanggan yang bimbang dengan status pemilik premis dan pekerja sama ada telah menerima suntikan imunisasi atau tidak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here