Kematian Covid-19 melebihi nahas pesawat MH17

0
1
Skuad Pengurusan Jenazah covid-19 Malaysia mula mencangkul tanah untuk menanam jenazah covid-19 di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

“RATUSAN kematian sehari, dengan semalam merekodkan jumlah kematian melebihi 300 orang, apakah kita boleh mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada di landasan tepat untuk membawa keluar negara daripada wabak Covid-19,” kata Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Beliau berkata, jumlah kematian kini telahpun melebihi jumlah kematian nahas pesawat MH17 dan ternyata proklamasi darurat gagal mengawal penularan wabak.

“Ia sudah sampai ke tahap umpama setiap hari sebuah kapal terbang terhempas!

“Bahkan pelaksanaan proklamasi darurat juga gagal menyekat penularan wabak Covid-19 sehingga merekodkan kes positif melebih 20,000 sehari.

“Rakyat Malaysia kini dalam situasi tidak selamat kerana Covid-19, apatah lagi varian baru yang tiada simptom dan boleh merebak dengan cepat sehingga boleh meragut nyawa,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar itu berkata, tidak nampak satu pelan yang tuntas daripada kerajaan dalam menangani wabak ini secara berkesan.

Bahkan, katanya, pengumuman kelonggaran kepada individu yang lengkap dua dos vaksin oleh Perdana Menteri semalam juga tiada yang menarik ataupun pelan pemulihan strategik melainkan sekadar untuk mengambil hati selain membuka kepada risiko penularan wabak.

“Jadi, apa yang boleh kita perkatakan adalah kerajaan hari ini gagal menangani wabak Covid-19 dengan berkesan dan Perdana Menteri tidak mempunyai wibawa dalam menguruskan negara.

“Begitu juga dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mahukan Umno mengadakan pemilihan parti ketika kes positif harian Covid-19 mencecah puluhan ribu.

“Tindakan sebegini bukan saja berupaya “membunuh” Umno tetapi juga untuk membunuh sebahagian ahli Umno dengan memaksa parti ini mengadakan pemilihan ketika wabak Covid-19 tengah menggila,” katanya.

Tambahnya, ROS tidak sepatutnya menjadi alat politik kerajaan bagi menekan kepimpinan Umno dengan arahan ataupun tindakan yang tidak masuk akal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here