PELAKON dan pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti mendoakan Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin, 36.
Dalam video pendek, Shuib yang kelihatan tenang berkata, beliau menghargai pihak yang tidak putus-putus menganjurkan solat hajat dan bacaan Yassin buat Allahyarham.
“Saya nak ucapkan terima-kasih kepada semua yang tidak henti membuat bacaan Yassin dan Solat hajat. Terima kasih banyak-banyak hanya Allah yang boleh membalasnya
“Saya mohon sedekahkan lagi al-Fatihah untuk arwah, terima kasih banyak-banyak untuk kasih sayang,” katanya.
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, Shuib menjelaskan beliau masih tertanya-tanya apakah kebaikan arwah isterinya hingga terlalu ramai insan dikenali mahupun tidak menitipkan doa buatnya.
Biarpun pada akhirnya Allahyarham Siti Sarah ‘tutup mata’ selepas lebih 48 jam ditidurkan dan berada dalam keadaan koma ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat pandemik Covid-19, namun Shuib reda.
Bekas penyampai radio itu mengakui, pemergian arwah isterinya diratapi dan dicemburui ramai.
“Bertalu-talu saya mendapat mesej dan video dari pelusuk seluruh negara yang menganjurkan bacaan Yassin dan doa selamat buat arwah. Tidak kurang juga menghantar gambar memaklumkan soal hajat dilakukan.
“Malah, ada sebahagiannya daripada nombor telefon yang tidak saya kenali.
“Apakah kebaikan arwah isteri hingga semua orang mahu mendoakan keajaiban dan kesembuhan buatnya? Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya dalam diri sendiri.
“Terlalu ramai ambil tahu mengenai perkembangan diri arwah. Saya tertanya-tanya apakah kebaikan arwah yang saya sendiri tidak tahu. Benar, saya mencemburui pemergiannya,” katanya ketika ditemui di kaunter bilik jenazah HCTM, pagi ini.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia sudah reda seandainya arwah isterinya dijemput Ilahi sejak berada dalam keadaan kritikal pada Jumaat lalu.
“Kami pernah bercakap soal kematian. Malah, arwah isteri pernah cakap kalau boleh mahu meninggal pada Jumaat penghulu hari kerana mahu mendapat ‘husnul khatimah’ dan lepas seksaan kubur.
“Jika ikutkan, saya reda seandainya Allah mencabut nyawanya ketika nazak dan paras bacaan oksigen menurun pada Jumaat lalu.
“Namun, Allah memberikan arwah sedikit masa lagi untuk hidup. Akhirnya, hari ini arwah pergi juga,” katanya.
Terdahulu, Siti Sarah meninggal dunia kira-kira jam 5.13 pagi tadi.
Penyanyi itu yang hamil tujuh bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan pada 6 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya menurun akibat jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

