Kelonggaran kuarantin: Kerajaan bakal ulangi kesilapan tahun lalu – Najib

0
1
Kredit: Instagram

KERAJAAN dijangka akan mengulangi kesilapan tahun lalu apabila memberi kelonggaran kepada syarat kuarantin pengembara asing, sekali gus berpotensi menyebabkan kemasukan varian lebih berbahaya dalam negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, melonggarkan syarat kuarantin bagi pengembara asing menjalani kuarantin kendiri hampir pasti akan mengulangi kesilapan sehingga menyebabkan kemasukan kluster Sivagangga dan varian mutasi D614G, tahun lalu.

Justeru, Najib berkata, inilah masa yang sesuai untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri serta-merta supaya ‘kegilaan’ berterusannya tidak lagi membawa banyak kerosakan dan kehilangan nyawa kepada negara.

“(Kini) negara sudahpun paling corot dalam dunia dari segi Covid dan ekonomi biarpun negara adalah antara negara paling lama lama lockdown, dia telah diberi kuasa penuh darurat selama 7 bulan dan RM600 bilion sudahpun dibelanja dia tanpa hasil atau pencapaian nyata.

“Serah kepada mereka yang laksanakan dasar SOP yang berpandu kepada data dan sains – bukan nafsu politik atau kegilaan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Najib berkata, penerima vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, selain berpotensi membawa pulang mutasi baharu virus Covid-19 dari luar negara, yang berisiko menjejaskan Program Imunisasi negara.

Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memberi amaran bahawa Malaysia perlu memperketatkan kawalan sempadan antarabangsa bagi mengelak kemasukan varian Lambda Covid-19 yang dilaporkan lebih berbahaya dan mungkin ‘kebal’ terhadap vaksin sedia ada.

“Malaysia mencatat rekod kematian tertinggi Covid dengan 360 kes termasuk 85 orang meninggal dunia di luar hospital semalam sebab semakin ramai tidak sempat terima rawatan dari hospital yang penggunaan kapasitinya sudah tercecah.

“Kadar kematian Malaysia ketika ini adalah paling tinggi dalam dunia – bukan sekadar antara paling tinggi lagi,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata, individu yang sudah mendapat suntikan vaksin lengkap di seluruh negara, bakal menikmati beberapa kelonggaran, berkuat kuasa Selasa ini.

Muhyiddin ketika mengumumkan perkara itu, berkata pengembara warga negara dan rakyat asing yang pulang atau tiba dari luar negara serta sudah mendapat vaksin lengkap dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah.

Katanya, mereka kemudian akan diberikan perintah pengawasan di rumah (HSO) digital oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here