“Beruntung Sarah, syahid dan didoa keluarga syuhada bumi Gaza” – Nadir

0
2

PERMERGIAN penyanyi dan usahawan Siti Sarah Raissuddin, 37, yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa melawan Covid-19 cukup dirasai ramai pihak yang terkenangkan kebaikan yang dilakukan penyanyi tersebut ketika hayatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi hantaran Facebook memberitahu sangat terkejut dengan pemergian Sarah kerana baru dihubungi penyanyi itu sebelum Aidiladha yang lalu.

Kata Muhammad Nadir, Sarah menghubunginya untuk mengikuti program ibadah korban di bumi Gaza.

“Allah. Tersentap kejap bila baca berita daripada @shuibsepahtu tentang pemergian @sitisarahraissuddin

“Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban di Gaza kami.

“Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” tulisnya.

Muhammad Nadir berkata, Sarah turut berhubung dengannya bertanya khabar tentang keadaan umat Islam di Palestin.

Cukup terkesan dengan pemergian penyanyi itu, Muhammad Nadir berkata Sarah meninggal dunia dalam keadaan memikirkan umat Islam, dan turut didoakan oleh ratusan penduduk di Gaza yang merasa daging korban yang disumbangkan Sarah.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada’ akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, Al-Fatihah,” ujarnya.

Terdahulu, Sarah yang juga isteri kepada Shuib Sepahtu meninggal dunia kira-kira jam 5.13 minit pagi tadi.

Penyanyi itu meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan berita sedih itu dimaklumkan suaminya melalui Instagram.

“Pada 5.13 minit pagi, bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedahkan al-Fatihah,” katanya.

Berikutan tahap oksigen menurun sejak pagi Jumaat lalu, penyanyi itu yang hamil tujuh bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.

Terdahulu, penyanyi Sandarkan Pada Kenangan itu terpaksa ditidurkan pada 6 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya menurun akibat jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here