“Bidadari syurga saya pergi buat selamanya”

0
1

Demikian ungkapan pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu yang kehilangan isteri tercinta yang juga penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 37, setelah berperang nyawa melawan Covid-19.

Pemergian penyanyi itu pada awal pagi tadi pada jam 5.13 pagi di di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.

Perkongsian Shuib menerusi laman Instagramnya cukup dirasai seluruh rakyat Malaysia yang sangat mengenali penyanyi lagu ‘Kesetian’ yang bersuara lunak itu.

Lebih sayu, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat menatap wajah cahaya mata yang dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.

Pagi ini, laman media sosial Instagram rakan-rakan artis dibanjiri dengan ucapan takziah kepada Shuib dan keluarga atas pemergian isteri tersayang.

Antara rakan artis yang terawal mengucapkan takziah buat Shuib sekeluarga adalah Fazura, Norman Hakim, Shiha Zikir, Jep Sepahtu, Fad Bocey, Alif Satar, Mark Adam, Ayda Jebat, Ajak Shira, dan ramai lagi.

Akhir Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.

Selain dirinya, suami bersama tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

Siti Sarah dikejarkan ke HUKM petang Rabu lalu berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot dan menyebabkan dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi Jumaat.

Berikutan tahap oksigen menurun sejak pagi Jumaat, penyanyi itu yang hamil tujuh bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.

Pembedahan tersebut berjalan lancar dan bayi Siti Sarah selamat dilahirkan sekitar pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Menerusi hantaran di Insta Story Shuib, bayi ketiga yang diberi nama Ayash Affan atas pilihan isterinya memberi perkembangan positif dan sihat.

Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 27 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan setelah mengetahui pembantu rumah disahkan positif virus terbabit.

Pasangan itu berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here