AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meletak jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuatkuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu dilakukan selaras dengan keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh MKT Umno pada 3 Ogos.
“Saya sebagai Ahli MKT Umno turut patuh dan setia atas ketetapan parti. Maka, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UMS dengan serta merta.
“Umno adalah sebuah parti perjuangan yang mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub dalam asas dan tujuan UMNO mengikut Fasal 3,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana memberi peluang untuknya berkhidmat sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Penagrah UMS.
Abdul Rahman turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan UMS kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya di UMS.
Selasa lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan MT Umno sepakat menarik sokongan daripada Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta merta.
Susulan itu, Noraini yang juga Ketua Wanita Umno melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta, semalam.
Noraini adalah Menteri Kabinet kedua meletakkan jawatan selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melakukan perkara sama Selasa lalu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Fb/Dato’ Abdul Rahman Dahlan

